Oleh RUSMA IBRAHIM (Utusan Malaysia Online)
JIKA
anda berusia kurang daripada 30, besar kemungkinan anda belum memikirkan
tentang persaraan anda. Dan tiada sebab untuk anda merancang sejauh
itu? Persaraan adalah sesuatu yang sangat jauh ke hadapan dan apabila
masa itu tiba, anda menyangka anda sudah meraih sejuta ringgit dan hidup
dalam kegembiraan? Salah.
Realitinya sangat berbeza seperti berikut:
1. Walaupun persaraan seperti dilihat masih jauh lagi, sebenarnya tidak.
2. Sejuta ringgit memang jumlah wang yang besar, tetapi hanya segelintir daripada kita akan memiliki simpanan sebanyak itu.
3. Selepas bersara, kebanyakan kita akan hidup selama 20 hingga 25 tahun lagi tanpa sebarang pendapatan.
4. Inflasi akan menghakis kuasa membeli simpanan anda.
5.
Secara purata, seorang yang bekerja dan mempunyai simpanan persaraan
sebanyak RM100,000, akan membelanjakan duit tersebut dalam tempoh 10
tahun saja.
Panik? Jangan. Mengambil berat? Ya.
Rakyat
Malaysia harus memikirkan dengan serius tentang simpanan bagi persaraan
masing-masing dan mengambil langkah proaktif untuk membuat perancangan
mengenainya termasuk mereka berusia kurang daripada 30 tahun atau baru
memulakan kerjaya.
Ketika ini, sebahagian besar
pekerja sektor swasta di Malaysia bergantung sepenuhnya kepada Kumpulan
Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk persaraan mereka. KWSP adalah skim
tabungan yang mewajibkan ahli menyimpan sekurang-kurangnya 11% daripada
pendapatan bulanan mereka dan 12% daripada majikan mereka. Ini bermakna
23% daripada pendapatan seseorang disimpan setiap bulan dalam akaun KWSP
masing-masing. Kadar caruman 23% ini hanya kadar yang diwajibkan. Ahli
dan majikan atau kedua-duanya boleh menyimpan melebihi kadar tersebut.
Berdasarkan
rekod KWSP, purata simpanan seorang ahli KWSP adalah RM100,000 apabila
mencapai usia 54 iaitu setahun sebelum bersara. Bagaimanapun, sebahagian
besar pesara didapati menghabiskan keseluruhan wang itu dalam tempoh
kurang daripada 10 tahun.
Purata jangkaan hayat rakyat
Malaysia pada umur 55 tahun ialah : 83 tahun untuk wanita dan 78.6
tahun untuk lelaki. Bayangkan jika seseorang itu bersara pada umur 55
tahun dan menghabiskan simpanan KWSP dalam tempoh 10 tahun. Bagaimana
mereka membiayai kehidupan selama 13 hingga 18 tahun lagi?
Selain daripada jumlah simpanan yang ada ketika bersara, faktor-faktor berikut juga perlu diambil kira:
1. Inflasi dan peningkatan kos sara hidup
Jika
anda seorang kanak-kanak pada 70-an dan 80-an, anda mungkin pernah
mendengar ibu bapa anda mengatakan, “Bila saya mendapat gaji pertama,
saya berikan semuanya kepada emak, dan emak berikan saya RM50 untuk
dibelanjakan.”
Bagus sekali. Daripada muda lagi telah
mula menabung tetapi persekitaran sekarang adalah berbeza. Cara hidup
dan keperluannya telah berubah. Dalam lain perkataan, golongan muda hari
ini perlu mengeluarkan banyak wang untuk kehidupan harian berbanding
ibu bapa mereka.
2. Perubahan norma sosial
Walaupun
era memberikan seluruh gaji kepada emak anda mungkin sudah berlalu,
pekerja muda hari ini masih memberikan sejumlah kecil gaji mereka kepada
ibu bapa mereka sebagai penghargaan.
Bagaimanapun,
aliran ini akan berubah bagi generasi akan datang. Hari ini, lebih ramai
orang berkahwin dan mempunyai anak pada usia yang lebih tua, sekali gus
menyebabkan mereka mempunyai anak kecil untuk dibiayai termasuk bagi
perbelanjaan pendidikan anak- anak walaupun mereka sudah mencecah usia
persaraan.
3. Kos dan keperluan perubatan
Semakin
kita tua, semakin kita memerlukan rawatan perubatan. Kos perubatan pula
semakin meningkat dengan mendadak. Kita akan menghadapi kesulitan
kewangan untuk membiayai rawatan perubatan terutama golongan yang tidak
mempunyai insurans perubatan.
Jika semua faktor ini
diambil kira, kemungkinan besar simpanan KWSP kebanyakan ahli tidak
mencukupi untuk memenuhi semua keperluan persaraan mereka. Jalan
penyelesaiannya ialah berusaha meningkatkan simpanan untuk persaraan
mengikut kemampuan masing-masing.
Tetapi bagaimana?
Menabung!
Menabung! Menabung! Sebenarnya tiada jalan mudah. Menabung sebahagian
pendapatan bulanan anda dengan tujuan persaraan dan tidak membelanjakan
simpanan tersebut sebelum anda bersara membolehkan anda memiliki
simpanan dalam jumlah yang lebih besar untuk persaraan.
Disiplin
diri sangat penting. Anda harus menetapkan sasaran simpanan setiap
bulan. Bandingkan pendapatan bulanan dengan perbelanjaan perlu seperti
hutang rumah dan kereta, insurans, makanan, pengangkutan dan lain- lain.
Kemudian tentukan jumlah yang akan disimpan setiap bulan. Pastikan anda
berdisiplin dalam soal simpanan ini. Apabila anda mendapat gaji,
keluarkan jumlah yang ditetapkan dan masukkan ke dalam akaun simpanan
itu.
Katakan anda tinggal dengan ibu bapa anda dan
mempunyai pendapatan bersih kira-kira RM2,500 sebulan. Anda perlu
membayar ansuran pinjaman kereta, bayaran skim insurans, membayar bil
telefon mudah alih, memberikan sejumlah kecil kepada ibu bapa anda
setiap bulan, selain membantu membayar dua atau tiga bil di rumah. Anda
mungkin boleh membuat perkiraan seperti ini:
Baki gaji
anda pada setiap akhir bulan adalah RM570. Daripada berbelanja wang
berkenaan secara tidak berfaedah, mengapa tidak anda menyimpan sebanyak
RM200 atau lebih untuk masa depan anda?
Jika anda
mempertimbangkan untuk menyimpan RM200 sebulan bagi keseluruhan tempoh
kerjaya anda, katakanlah selama 30 tahun, jumlah keseluruhan simpanan
anda ialah RM72,000. Jika dicampur faedah ke atas simpanan tersebut,
jumlah ini dengan mudah akan berganda kepada RM144,000 apabila anda
bersara. Dicampur dengan simpanan KWSP sebanyak RM100,000, anda akan
bersara dengan lebih selesa.
Anda juga tidak harus lupa
bahawa wang yang disimpan akan bertambah dan apabila ia bertambah, anda
perlu bijak untuk menabung dan di mana ia harus dilaburkan.
Mempelbagaikan saluran simpanan memerlukan anda membuat keputusan yang
bijak. Bertanya dan belajar mengenai manfaat menyimpan wang dalam
simpanan tetap dalam institusi kewangan terkemuka atau melabur dalam
saham amanah.
Anda juga boleh membeli insurans yang
memberikan perlindungan sepanjang hayat, kemalangan, perubatan,
endowmen, dan juga pendidikan untuk anak-anak. Jika anda memiliki
insurans tersebut, anda tidak perlu mengeluarkan simpanan KWSP bagi
membiayai kos perubatan yang tidak dijangka atau membayar yuran
pendidikan tinggi anak-anak di kemudian hari. Ini akan memastikan
simpanan KWSP untuk persaraan adalah lebih besar nilainya.
Hartanah
juga satu bentuk pelaburan yang baik dan harus dipertimbangkan selepas
seseorang mempunyai simpanan yang mencukupi. Walaupun KWSP membenarkan
ahli mengeluarkan simpanan daripada Akaun II untuk membeli rumah, adalah
lebih bijak wang simpanan KWSP anda tidak dikeluarkan jika anda mampu
mendapatkan pembiayaan perumahan daripada bank.
Persaraan
dan perancangan kewangan memerlukan banyak pertimbangan, perancangan
dan disiplin. Menabung ketika memulakan kerjaya pada usia muda akan
memudahkan dan mengurang beban pada kemudian hari.
Walaupun
menabung wang bukan sesuatu yang mudah terutama dengan pelbagai tarikan
daripada pasaran pengguna, ia adalah kaedah yang membolehkan anda
bersara dengan lebih selesa. Kepada mereka yang berhadapan dengan
masalah untuk menabung, terdapat satu lagi pilihan akhir yang mudah bagi
memastikan anda mempunyai simpanan yang mencukupi apabila bersara iaitu
bersaralah pada usia 75 tahun!
Rancang Persaraan Sekarang

